Aljoofre Meredah Usia

Kriteria Qawiy dan Amin, bukan lulusan agama?

April 13th, 2011 by Aljoofre

Sekali lagi isu kepimpinan ulamak dibangkitkan lagi. Seolah-olah sengaja dibangkitkan selang dua tahun sekali. Saya pernah menulis berkenaan perkara ini dua tahun lalu di sini.

Saya baca dan baca lagi artikel tersebut, dan saya masih tidak nampak bagaimana masih ada lagi yang keliru dan mengatakan syarat nak jadi pemimpin bukan orang yang berilmu agama tetapi “Al-Qawiyyul Amin“.

Dalam keadaan demam yang memberi peluang kepada saya tidak ke kuliah maghrib, saya pun membuka beberapa buah kitab tafsir yang ada dalam simpanan, berkenaan ayat tersebut, serta kitab-kitab berkenaan pentadbiran Islam yang ditulis ratusan tahun dahulu jauh dari politik Malaysia atau politik dalaman mana-mana parti di Malaysia.

Apa yang saya dapati rupanya mereka yang menggunakan ayat dalam kisah puteri-puteri Nabi Syu’aib tersebut menggunakannya samaada di luar konteks atau tidak melihatnya seperti yang ditafsirkan oleh para ulamak. Luar konteks kerana ayat itu berkenaan dua sifat terbaik bagi orang yang hendak diupah bagi melaksanakan sesuatu kerja dan bukan orang yang dilantik untuk memimpin kita.

Namun begitu tidaklah kita katakan pemimpin tidak memerlukan sifat tersebut. Oleh kerana syarat menjadi pemimpin memerlukan banyak lagi perkara yang terlalu besar, maka jarang sekali kita temui dalam kitab-kitab kepimpinan Islam terdahulu, meletakkan syarat tersebut. Lagipun biasanya para ulamak yang menjadi pemimpin, memang tentu sekali mereka mempunyai kedua-dua sifat tersebut. Mereka takutkan Allah. Jika mereka tidak memiliki sifat yang sepatutnya ada bagi seorang pemimpin, mereka tidak akan mengambil tanggungjawab tersebut, seperti sahabat yang agung, Sayidina Abu Dzar, Radhiyallahu ‘Anh.

Tambahan pula para ulamak yang mensyarahkan sifat tersebut meletakkan ilmu agama merupakan syarat utama kepadanya. Jika tidak maka tidaklah dia dipanggil “amin” dalam kepimpinannya. Ini kerana salah satu sifat amanah yang jelas adalah mempunyai ilmu berkenaan tanggungjawabnya itu. Jika tiada ilmu maka sudah pasti tiada amanah, walaupun dia jujur dan tidak menipu serta berintegriti kononnya!

Dalam kepimpinan perjuangan Islam, atau menjadi khalifah bagi ummat Islam, ia akan kembali kepada “menjaga agama, dan mentadbir dunia dengannya“. Asas kepada kedua-dua perkara ini memerlukan seorang yang berilmu agama. Ilmu yang mantap, bukan sekadar tahu solat dan puasa serta beberapa hukum sampingan sahaja.

Di sini saya bawakan pandangan para ulamak sehingga kita jelas adakah kriteria qawiy dan amin sahaja yang diperlukan untuk menjadi pemimpin tertinggi atau memang memerlukan pengetahuan agama yang mendalam.

Pandangan Pertama: Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali:
Pemimpin tertinggi disyaratkan seorang mujtahid. Diletakkan dalam kategori syarat sah. Jika tiada mujtahid, maka dipilih yang paling hampir kepada tahap mujtahid tersebut.

Pandangan Kedua: Mazhab Hanafi:
Menjadi mujtahid bukan syarat sah. Akan tetapi ia menjadi syarat keutamaan bagi menjadi pemimpin tertinggi.

Jelas pandangan keempat-empat mazhab berkenaan perkara ini. Adakah mereka yang nak memperjuangkan Islam berani mengenepikan jutaan para ulamak tersebut yang jelas bukan gilakan kuasa atau mahukan kekuasaan hanya berlegar di sekita mereka sahaja?

Kejatuhan Eropah?

Ada pula yang berani menyamakan ulamak Islam dengan paderi-paderi kristian yang korup dengan mendakwa, “Mempertahankan ulama yang tidak kompeten adalah formula yang meruntuhkan Eropah di zaman Pencerahan”. Saya hanya mampu menggelengkan kepala bila saya mendengar komentar sebegini pertama kali. Terkejut. Sudah terlalu depseratekah sehingga menyamakan para ulamak Islam yang telah dijamin oleh Allah dan Rasul dengan paderi-paderi kristian yang sudah jauh sesat dan menyeleweng dari ajaran agama mereka.

Terlupakah kita bahawa Islam berbeza dengan agama lain kerana ia dijamin dipelihara oleh Allah. Rasulullah juga menyebutkan dalam hadis yang jelas, berkenaan ilmu yang dicabut dengan dimatikan para ulamak. Ketika itu manusia akan mengambil PEMIMPIN yang jahil lalu keluarlah fatwa yang sesat lagi menyesatkan. Runtuhnya ummat Islam bila ulamak diketepikan dari menjadi pemimpin dan diambil pemimpin yang kurang memahami agama, walau dia seorang yang kononnya “Qawiy” dan “Amin”.

Jika hendak berjuang menegakkan Islam tetapi diketepikan pandangan jutaan para ulamak Islam terdahulu lalu mendahulukan fikiran dan logik akal kita sendiri, maka tanyalah pada diri, sejauh mana akal kita ini lebih hebat berbanding kumpulan ilmu dan kegeniusan jutaan para ulamak tersebut.

Namun begitu saya sudahi tulisan serba ringkas dan segera ini dengan apa yang pernah saya catitkan dua tahun lalu:

Maksud saya dengan kempimpinan ulamak di sini, adalah ulamak yang memang mampu mentadbir dan memimpin serta memahami keperluan kepimpinan. Tidak dinafikan bukan semua ulamak mampu mantadbir. Adanya ulamak yang berjiwa bagai Sayidina Abu Dzar Radhiyallahu ‘Anh (yang cukup hebat tetapi tidak disarankan menjadi pemimpin) bukan menjadi kayu ukur kepimpinan ulamak yang dimaksudkan.

Saya juga perlu sebutkan di sini, kepimpinan bukanlah suatu perkara yang patut direbutkan oleh mana-mana pihak jua, tak kira ulamak mahupun profesional. Ia adalah satu beban, satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah di hari pembalasan nanti. Akan tetapi ia juga satu fardhu kifayah yang wajib ada dalam Negara Islam.

Dalam artikel lain saya pernah menyebut:

Lupakah kita, ulamak rabbani, mereka dipimpin oleh Allah. Bagai hadis qudsi yang menyebutkan perihal kekasih Allah. Penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua dipandu oleh Allah, berkat amalan mereka yang tentu jauh lebih banyak dari kita. Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau yang dipandu oleh otak yang genius dan pemikiran politikus hebat?

Doakan kita semua boleh menjadi seperti mereka, waris sebenar para Nabi, atau sekurang-kurangnya termasuk dalam golongan yang mencintai mereka. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita dibangkitkan bersama mereka. Seronoknya kalau bangun dari kubur nanti, tengok kanan ada Imam Al-Ghazali, tengok kiri ada Imam An-Nawawi, tengok depan ada Imam Assyafie…

Filed under haraki having 9 Comments »

9 Responses

  1. Omar Says:

    Ustaz, ulamak yang tidak kompeten itu bermaksud ulama yang tiada qawiy dan amin. Jika kita letak mereka memimpin, samalah Eropah meletakkan paderi2 memimpin masyarakat yang akhirnya Eropah jatuh. Persamaan pada tidak kompeten.

  2. nadahahs Says:

    assalamualaikum.

    saya rasa terdapat dua perkataan dalam satu frasa iaitu

    alim ulama

    susah sekarang nak cari org alim yang ulama
    dan ulama yang ada masih kurang alim.

    yang jahil tetap jahil, jangan kita cuba menidakkan kejahilan ulama tentang sesuatu ilmu di luar bidang mereka.

    wallahualam.

  3. Syahmi Says:

    salam ustaz, terima kasih ust atas ulasan ust.

    saya nak tanya, bagaimana dengan mood politik semasa di mana politik persepsi telah menjadi suatu fenomena?

    mmg kita akui ulamak2 yang memimpin ni tinggi keilmuan dan pakar dalam bidang2 tertentu, tetapi keupayaan mereka tidak tertonjol. pembawaan diri tidak begitu menyerlah dan tidak menggamit(not appealing).

    mohon komen dan pandangan ustaz. ustaz nak emel saye pun buleh.

  4. Aljoofre Says:

    Al-Fadhil Ustaz Omar yg dikasihi lagi dihormati. Segan ana Ustaz Omar komen pula.

    Saya ada sebutkan berulang kali di atas, ulamak yg hendak memimpin memang perlukan keupayaan memimpin. Jika tidak maka mereka tidak boleh memimpin. Sifat qawiy dan amin hanya dua sahaja dari puluhan lagi sifat keupayaan memimpin. Cuma artikel saya lebih menjurus kepada adakah cukup seorang yg dikira qawiy dan amin tanpa perlu kepada pengetahuan agama yg mendalam untuk memimpin. Seperkara lagi, Eropah jatuh dgn meletakkan paderi yg korup lagi khianat sebagai pemimpin, tidak semestinya tidak kompeten. Perkara ini tidak wujud pada ulamak rabbani yg mentadbir. Oleh itulah ana katakan ia qias ma’al fariq..

  5. Aljoofre Says:

    Perkataan alim adalah singular, manakala ulamak adalah plural. Maka ‘ulamak adalah himpunan para alim. Jadi argumen nadahahs agak pelik bunyinya bila disebutkan ulamak tetapi kurang alim.. :-)

    Adapun ulamak jahil dalam ilmu di luar bidang mereka itu biasa. Bahkan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengatakan para sahabat lebih mengetahui bidang urusan dunia mereka bila membicarakan bab pertanian. Tentu sekali para ulamak sangat sedar perkara ini. Dan saya tak pernah jumpa ada ulamak yang menidakkan perkara ini. Ke nadahahs pernah jumpa?

  6. Aljoofre Says:

    Salam

    Politik persepsi yg menjadi satu fenomena perlulah diurus dgn baik. Jika kita biarkan setiap persepsi luar sentiasa mempengaruhi tindakan kita teruklah jadinya kan. Namun, Ulamak yang keupayaan mereka tindak menonjol atau pebawaan yg tidak menyerlah, memerlukan kepada sahabat-sahabat para pimpinan lain yang tolong menonjolkannya. Itulah gunanya kerja berjamaah. Saling kuat-menguatkan.

  7. zacharias Says:

    ilmu agama adalah syarat utama, tetapi bukan ‘lulusan agama’. kalau susah sangat, buat satu sistem peperiksaan, sesiapa nak bertanding jawatan tertentu, perlu lulus ujian tersebut.

    jangan terkejut kalau ada ahli pas yang bukan lulusan agama tapi dapat markah lebih tinggi dari ustaz2 dalam dewan ulama

  8. Aljoofre Says:

    Terima kasih saudara Zacharias.. Dalam bab ini juga saya ada tulis, baru tiga bulan lalu di: http://aljoofre.iluvislam.com/?p=191 Sila baca dan hadamkan ya..

  9. mushkil Says:

    salam ustaz, apakah hukum berdakwah ustaz,fardu ain atau fardu kifayah?? apakah pandangan ustaz tentang jemaah tabligh ?? adakah cara berdakwah hanya seperti mereka sahaja?? ada seorang saudara saya mengatakan MESTI kluar (khuruj) dan ikut jemaah tabligh..dia kata hanya jalan mereka sahaja yang betul dan ikut sunnah…betulkah pernyataan dia?? harap ustaz dapat jelaskan sebab saya dalam kekeliruan..

    2.berdakwah atau menuntut ilmu lebih afdal??

Leave a Comment

Please note: Comment moderation is enabled and may delay your comment. There is no need to resubmit your comment.